SUNG-Hyun berjaya bangkit daripada bogey lewat permainan. FOTO/AGENSI
AFP

PEMAIN nombor dua dunia Park Sung-hyun berjaya bangkit daripada bogey lewat permainan untuk mencatat birdie bertuurt-turut awal pagi tadi dan berkongsi kedudukan dengan pemain Sepanyol Carlota Ciganda di tangga teratas Kejohanan LPGA NW Arkansas.

Pemain Korea Selatan, Sung-hyun yang menjulang gelaran LPGA keenam di Kejuaraan Wanita Dunia HSBC di Singapura pada Mac dan menduduki tangga kedua di belakang Hannah Greene pada Kejuaraan Wanita PGA minggu lalu, mencatat lapan di bawah par 63 di Pinnacle Country Club di Rogers, Arkansas, untuk berkongsi kedudukan pendahulu dengan 13 di bawah par 129.

“Saya hanya mencatat satu kemenangan musim ini, tetapi secara keseluruhannya saya fikir saya melakukan tugas dengan baik,” kata Sung-hyun.

“Minggu lalu saya bermain dengan baik juga. Esok, saya harap dapat fokus dalam setiap pukulan.”

Carlota membuat 66 pukulan dan kedua-dua pendahulu itu berkelebihan dua pukulan mengatasi kumpulan tujuh pemain yang turut membabitkan pendahulu sebelumnya Park In-bee dan pemain nombor satu dunia Ko Jin-young.

Carlota yang memulakan saingan hari itu, ketinggalan satu pukulan berbanding pendahulu bermula cemerlang dengan eagle seawal lubang pertama di mana dia berjaya memukul bola ke lubang dari jarak 60 ela.

Carlota menambah birdie pada lubang kelima dan ketujuh untuk mendahului dengan 12 di bawah par namun gagal menambah satu lagi birdie sehinggalah lubang ke-18 yang membawanya ke pusingan terakhir sebagai pendahulu bersama.

“Masih banyak permainan untuk dilalui esok dan pukulannya mungkin menjadi lebih rendah,” kata Carlota yang mengumpul dua kemenangan dalam Jelajah LPGA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 1:11 PM