Annuar tercalon. FOTO fail NSTP
Siti Nor Hidayatidayu Razali


BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turut tercalon untuk menerajui badan itu menerusi Kongres Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai depan.

Perkara itu disahkan oleh Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah selepas tempoh pencalonan untuk pemilihan EGM ditutup pada jam 12 tengah hari, hari ini.

Beliau berkata, selain Annuar, KAFA turut menerima tiga lagi pencalonan untuk jawatan Presiden.

Menurutnya, tiga calon ialah, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.

“Melihat perkembangan ini, berkemungkinan akan berlaku pertandingan empat penjuru untuk jawatan Presiden KAFA.

“Pencalonan ini menunjukkan petanda positif sekali gus memperlihatkan masih ramai yang sayangkan badan induk itu,” katanya.

Beliau berkata, untuk jawatan Timbalan Presiden, KAFA menerima empat pencalonan iaitu Datuk Seri Afandi Hamzah, Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Seri Mohd Zumridi Tambi dan Muhammad Yusri Ismail.

Afandi berkata, untuk jawatan Naib Presiden pihaknya menerima sembilan pencalonan.

“Seramai 29 pencalonan yang diterima untuk jawatan Exco KAFA pada EGM kali ini. "Sekretariat KAFA akan menghubungi kesemua calon untuk memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu.

"KAFA memberi tempoh sehingga Rabu ini kepada calon untuk membuat pengesahan adakah mereka sedia bertanding atau menarik diri," katanya.

Beliau berkata, senarai penuh calon akan dimuktamadkan Khamis ini.

KAFA sebelum ini memutuskan EGM akan dilangsungkan pada 6 Julai selepas Exco sebulat suara bersetuju menerima memorandum desakan dari Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ).

Ia berikutan selepas Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan sebagai Presiden KAFA pada 18 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 8:16 PM