SALAH diasak dua pemain Uganda. - FOTO Reuters
Reuters

BINTANG Mesir, Mohamed Salah menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma ketika menewaskan Uganda 2-0 dalam aksi Piala Negara Afrika di Kaherah, awal pagi tadi.

Jaringan dari jarak 25 meter pada minit ke-36 itu adalah yang kedua buat Salah dalam kejohanan itu sekali gus menjulang Mesir ke tangga teratas kumpulan manakala Uganda turut layak ke peringkat 16 terakhir.

Ahmed Elmohamady menjaringkan gol kedua tuan rumah sejurus sebelum babak pertama tamat menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.

Mesir yang telah pun layak menamatkan kempen Kumpulan A dengan rekod kemenangan dalam dalam tiga perlawanan dan tanpa dibolosi sebarang gol.


REAKSI Salah selepas menjaringkan gol pertama Mesir. - FOTO Reuters

"Jaringan pertama dan kedua secara psikologinya sangat penting,” kata jurulatih Mesir, Javier Aguirre. "Ini adalah aksi yang anda perlu jaringkan lebih gol daripada pasukan lain.

"Tekanan memang tinggi. Kami cuba bermain. Penyokong mahu kami menang, menang dan menang. Kami meraih sembilan mata tetapi banyak lagi aspek perlu diperbaiki.”

Kekalahan itu sudah pasti mengecewakan Uganda selepas mereka mendominasi awal babak pertama namun mereka turut mara apabila menduduki tangga kedua dengan empat mata selepas Republik Congo menewaskan Zimbabwe 4-0. Congo meraih tiga mata sementara Zimbabwe satu mata.

Uganda turut mendominasi aksi babak kedua namun penyudah tumpul menjadi penghalang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 7:06 AM