Annuar Musa dukacita dengan pencapaian skuad bola sepak Kelantan. FOTO Asyraf Hamzah
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling


BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menegaskan, bakal peneraju badan itu mestilah individu yang benar-benar faham 'kerenah' bola sepak negeri itu.

Beliau yang belum lagi memikirkan untuk menerima pencalonan menerajui KAFA berkata, mereka yang benar-benar berminat mestilah menilai keupayaan diri sebelum dipilih sebagai Presiden.

"Saya pun tak fikir lagi. Tak tengok lagi siapa calonnya, adakah mereka juga serius atau tidak.

"Saya banyak hal di Parlimen nak difikirkan dan sebagai Setiausaha Agung UMNO," katanya ketika ditemui di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas langkah Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) yang mencalonkannya untuk menerajui badan induk persatuan negeri itu menerusi Kongres Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai ini.

Perkara itu disahkan oleh Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah selepas tempoh pencalonan untuk pemilihan EGM ditutup pada jam 12 tengah hari, hari ini.

Selain Annuar, KAFA turut menerima tiga lagi pencalonan untuk jawatan Presiden iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.

Mengenai bola sepak Kelantan, Annuar berkata, kedudukan sukan nombor satu amat mendukacitakan : "Duduk di nombor terakhir dalam Liga Perdana. Kalau mereka tak perbaiki keadaan, kena turun liga lebih rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 7:47 PM