PEMAIN Kedah meraikan kemenangan selepas menewaskan FELDA United pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Izzali Ismail


SIKAP berhati-hati untuk mengelak kad kuning kerana bimbang terlepas aksi final Piala FA menjadi faktor penguasaan Kedah agak kendur di penghujung perlawanan separuh akhir kedua menentang FELDA United FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam kelmarin.

Kedah bagaimanapun berjaya melangkah ke pentas akhir dengan agregat 3-3 melalui kelebihan jaringan di tempat lawan selepas tewas 2-3 dalam perlawanan itu.

Dalam separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman pada 22 Jun lalu, Kedah menang 1-0.

Menurut ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, beliau sedar penyokong kecewa dengan keputusan itu, namun pada masa sama pemainnya terpaksa berhati-hati pada babak kedua kerana mahu mengelak kad kuning yang boleh melenyapkan impain beraksi di pentas final.

Sembilan pemain yang sudah memiliki kad kuning ialah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Renan Alves, Syakir Hamzah, Jonathan Bauman, Fernando Rodriguez, Alif Yusof, Farhan Roslan dan Zaquan Adha.


PEMAIN Kedah, Jonathan melakukan rembatan ke gawang FELDA United. FOTO Muhammad Asyraf Sawal

“Mungkin ramai yang tidak sedar sembilan pemain kami sudah memiliki kad kuning dalam aksi semalam (kelmarin), dan impian untuk beraksi di pentas final Piala FA sangat memuncak, mereka tidak mahu terlepas peluang keemasan ini.

“Inilah antara puncanya pemain kami dilihat lebih berhati-hati di hujung babak perlawanan walaupun ramai penyokong cemas dengan keadaan serangan pihak lawan yang menekan kubu Kedah.

“Namun saya bersyukur semua pemain kami kini boleh beraksi di final,” katanya.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, pemain Lang Merah perlu memperbaiki corak permainan mereka menjelang aksi final berdepan Perak kelak.

Bekas pengendali Home United itu berpendapat, skuad kendaliannya hanya mendominasi aksi separuh masa pertama dan sepanjang separuh kedua, pemainnya lebih banyak mempamerkan aksi berhati-hati.

“Saya lega kerana kami berjaya mengekang kebangkitan pasukan FELDA United kerana mereka memberikan tentangan sengit.

“Kita dapat mengawal sepenuhnya aksi babak pertama namun kehilangan rentak pada separuh kedua menyaksikan mereka berjaya mencari gol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:01 AM