SANE menjaringkan gol ketiga Senegal menerusi sepakan penalti. - FOTO Reuters
AFP

BINTANG Liverpool, Sadio Mane menjaringkan dua gol selepas penaltinya diselamatkan ketika Senegal menewaskan Kenya 3-0 di Kaherah dan layak ke peringkat 16 terakhir Piala Negara Afrika awal pagi tadi.

Penyerang yang menjuarai Liga Juara-Juara itu hanya mampu menyaksikan sepakan lemahnya diselamatkan penjaga gol Kenya, Patrick Matasi pada babak pertama namun bangkit menebus kesilapan dengan dua jaringan pada babak kedua.

Ismaila Sarr meletakkan Senegal di depan pada minit ke-63 dan Mane menambah dua gol lagi pada minit ke-71 dan 78, gol keduanya menerusi sepakan penalti.

Jurulatih Senegal, Aliou Cisse mengakui beliau keberatan membenarkan Mane mengambil sepakan penalti kedua tetapi berkata ia keputusan yang tepat.

"Dia betul, penting baginya mengambil tanggungjawab itu dan bagus untuknya mendapat keyakinan,” kata Cisse kepada wartawan.

Kenya pula terpaksa beraksi 10 pemain selepas Philemon Otieno yang menjadi punca penalti kedua Senegal dilayangkan kad kuning kedua.


GAYA Sane meraikan jaringan ketika menentang Kenya. - FOTO Reuters

Algeria melakukan 11 pertukaran ke atas pasukan yang menewaskan Senegal minggu lalu tetapi masih mampu menewaskan Tanzania 3-0 di Kaherah untuk menduduki tangga teratas Kumpulan C dengan sembilan mata.

Senegal di tempat kedua dengan enam mata manakala Kenya tiga mata. Tanzania pula yang kali terakhir menyertai kejohanan 39 tahun lalu tercorot tanpa sebarang mata.

Setakat ini 10 pasukan termasuk Senegal layak ke pusingan kedua bermula Jumaat ini.

Tuan rumah Mesir, Madagascar, Algeria dan Maghribi mara sebagai juara kumpulan diikuti Uganda, Nigeria, Senegal dan Ivory Coast naib juara.

Guinea dan Republik Congo turut tersenarai sebagai dua pasukan terbaik tempat ketiga.

Baki enam pasukan ditentukan awal pagi esok menerusi juara dan naib juara Kumpulan E dan F di samping dua lagi pasukan terbaik tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 7:14 AM