Rozairi anggap sasaran realistik. FOTO fail NSTP
Malik Muhamad


MENYEDARI cabaran getir bakal dihadapi, skuad futsal Terengganu hanya menyasarkan tiga teratas dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2019 yang diperkenalkan tahun ini.

Pengendalinya, Mohd Rozairi Ahmad berkata, sasaran itu realistik kerana saingan edisi sulung itu diperkenalkan secara liga oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Sasaran awal kita adalah pada kedudukan ketiga liga, ini kerana kita tidak mengetahui sejauh mana kekuatan lapan lagi pasukan bertanding, namun begitu jika kita muncul naib juara atau juara adalah bonus kepada kita.

"Harapan kita bukan kepada individu pemain tetapi keseluruhan bagi memastikan impian kita tercapai apatah lagi 80 peratus pemain kita adalah pemain Sukan Malaysia (SUKMA)," ujar Rozairi yang juga bekas pemain pasukan bola sepak pantai kebangsaan.

Terengganu yang baharu beraksi dua perlawanan liga berjaya mencatat satu kemenangan menumpaskan Pulau Pinang 3-1 pada aksi kedua dan seri 2-2 menentang Kedah.

Musim ini Terengganu menyenaraikan pertahanan terbaiknya, Akil Khalis Adli Khairul dan pasangan kembar, Mohd Hafiz dan Mohd Hafizi Ismail.

Mengulas lanjut, beliau menyambut baik penganjuran liga perdana futsal yang disifatkan sebagai landasan terbaik untuk pemilihan pemain ke skuad kebangsaan.

"Usaha ini tepat pada masanya kerana kejohanan ini dibuat secara profesional, justeru akan lebih ramai bakat pemain dapat dicungkil.

"Bagaimanapun, saya cadangkan FAM perlu mewajibkan semua negeri menghantar pasukan masing-masing bagi menambahkan seri saingan dan mengangkat prestij kejohanan," katanya.

Selain Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah turut bertanding Selangor, Perak, Pahang, KL City, Kuala Lumpur dan Melaka.

Empat pasukan bertanding bagi kategori wanita adalah Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:42 PM