AKSI Federer ketika menentang Lloyd Harris dari Afrika Selatan. FOTO Reuters
AFP

JUARA Wimbledon lapan kali Roger Federer berjaya mengatasi kegugupan pada set pertama untuk mara ke pusingan kedua malam ini dengan menewaskan pendatang baharu dari Afrika Selatan Lloyd Harris 3-6, 6-1, 6-2, 6-2.

Federer, yang pencabar utamanya Rafael Nadal turut beraksi menentang pemain kelayakan dari Jepun Yuichi Sugita, mengambil masa untuk menyesuaikan diri namun dibantu lawannya yang mengalami kesakitan betik pada pertengahan perlawanan.

“Saya bergelut pada awal permainan, kaki saya seperti beku dan bola tidak pergi ke arah yang saya mahukannya,” kata Federer.

“Dia membuat pukulan hebat dan segala-galanya begitu pantas. Saya rasa gugup untuk satu setengah set perlawanan.

“Jadi ia memerlukan kesungguhan daripada saya. Llyod bermain dengan baik.”

Jika Nadal mara, dia akan bertemu kembali dengan Nick Kyrgios selepas pemain Australia itu meraih kemenangan 7-6 (7/4), 3-6, 7-6 (12/10), 0-6, 6-1 ke atas rakan senegara Jordan Thompson.

Bagaimanapun kelemahan juara dua kali Terbuka Perancis Dominic Thiem di gelanggang rumput terdedah apabila menjadi mangsa servis bertenaga pemain veteran Amerika Syarikat, Sam Querrey.

Querrey, beraksi pada separuh akhir Wimbledon pada 2017, meraih kemenangan 6-7 (4/7), 7-6 (7/1), 6-3, 6-0.

“Masih ada perkara yang tidak mudah bagi saya,” kata Thiem.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 12:43 AM