HAIDARA meraikan jaringan menewaskan Angola. - FOTO Reuters
AFP

TUNISIA dan Afrika Selatan mengisi dua slot terakhir pusingan kalah mati Piala Negara Afrika selepas tamat aksi peringkat kumpulan di Mesir, awal pagi tadi.

Mali yang telah pun layak menewaskan Angola 1-0 di Ismailia menerusi rembatan kencang Amadou Haidara untuk menerajui Kumpulan E sekali gus menyingkirkan Angola daripada kejohanan.

Tunisia yang menduduki ranking kedua di belakang Senegal di Afrika hanya mampu seri 0-0 menentang Mauritania di Suez tetapi satu mata diraih meletakkan mereka di belakang Mali yang meraih tujuh mata diikuti Tunisia tiga mata manakala Angola dan Mauritania masing-masing dua mata.

Kekalahan Angola membolehkan Afrika Selatan meloloskan diri ke pusingan kalah mata diiringi Guinea, Republic Congo dan Benin yang muncul empat pasukan tempat ketiga terbaik.

Mali akan menentang Ivory Coast pada pusingan 16 manakala Tunisia menentang Ghana yang memburu slot separuh akhir ketujuh berturut-turut Piala Negara Afrika.

Pertembungan sengit dijangka membabitkan juara bertahan Cameroon dan Nigeria yang masing-masing muncul juara lapan kali.

Tuan rumah Mesir, Algeria dan Maghribi yang muncul juara kumpulan tanpa kalah dalam tiga perlawanan akan menentang lawan yang menduduki tempat ketiga.

Mesir yang mendapat inspirasi Mohamed Salah menentang Afrika Selatan dalam perlawanan yang dijangka menarik kehadiran 75,000 penonton di Stadium Antarabangsa Kaherah, awal pagi Ahad ini.

Maghribi menentang Benin di Kaherah dalam aksi pertama pusingan kalah mati Sabtu ini dan Algeria menentang Guinea keesokan harinya.

Skuad kerdil Madagascar yang mengejutkan bekas juara tiga kali Nigeria untuk menerajui Kumpulan B akan menentang DR Congo.

Senegal yang diperkuatkan Sadio Mane berentap dengan sebuah lagi pasukan timur Afrika, Uganda untuk memburu slot suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 7:18 AM