Agensi

GIANLUIGI Buffon setuju kembali semula ke Juventus dengan kontrak setahun selepas meninggalkan Paris Saint-Germain, menurut sumber kepada ESPN FC.

Bekas penjaga gol Itali itu meninggalkan Juve untuk menyertai PSG pada musim panas lalu selepas menjuarai Serie A tujuh kali berturut-turut.

Dia berpindah ke ibu kota Perancis dengan misi membantu mereka memenangi Liga Juara-Juara.

Walaupun PSG berjaya menjulang Ligue 1 dengan bergaya, mereka tewas pada final Piala Perancis dan tersingkir di suku akhir Coupe de la Ligue.

Tetapi paling mengecewakan buat penjaga gol berusia 41 tahun itu ialah ketika pusingan 16 Liga Juara-Juara musim lalu apabila mereka menang 2-0 ke atas Manchester United di Old Trafford tetapi tewas 1-3 di tempat sendiri dengan salah satu gol itu akibat kesilapan Buffon .

Di Juventus, Buffon dijangka menjadi penjaga gol kedua selepas Wojciech Szczesny dengan Mattia Perin bakal meninggalkan Old Lady.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 1:26 PM