KHAIRUL Fahmi Che Mat.
KHAIRUL Fahmi Che Mat.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KHAIRUL Fahmi Che Mat menaruh harapan tinggi kes tuntutan gajinya terhadap bekas majikan, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dapat diputuskan segera oleh Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Peguam penjaga gol Melaka itu, Zhafri Aminurashid berkata, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa maklum balas berhubung afidavit tuntutan yang diserahkan kepada pihak jawatankuasa minggu lalu.

Katanya, pada masa sama KAFA juga belum menjawab dua surat tuntutan dihantar anak guamnya pada 23 Mei dan 10 Jun lalu.

“Setakat ini pihak Jawatankuasa Status FAM belum menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Khairul Fahmi dan anak guam kami amat berharap ia diputuskan secepat mungkin kerana sudah lama berlarutan.

“Saya juga mengesahkan KAFA juga belum membalas surat tuntutan yang dihantar sebelum ini. Memang FAM akan beri tempoh untuk KAFA jawab afidavit itu, namun jika tidak, keputusan boleh dibuat berdasarkan afidavit anak guam kami,” katanya dihubungi hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, selepas berbincang dengan peguam, Khairul Fahmi memutuskan untuk menghantar afidavit tuntutan tunggakan gaji 2015 dan 2016 berjumlah RM145,000 kepada Jawatankuasa Status FAM.

Dilaporkan Khairul Fahmi akan merujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan selanjutnya, jika tiada penyelesaian.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas KAFA mengenai afidavit berkenaan sebelum membuat keputusan.

“Kami menerima afidavit berkenaan minggu lalu dan akan menghantarnya kepada KAFA dalam minggu ini juga untuk dapat maklum balas afidavit.

“Selepas itu baru kita membuat keputusan berhubung tuntutan tunggakan gaji dikemukakan Khairul Fahmi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 6:33 PM