ATLETICO mengesahkan City sudah membayar yuran AS$79 juta (RM410.7 juta) untuk Rodrigo. FOTO Agensi
AFP

MANCHESTER City dijangka membawa masuk pemain Atletico Madrid Rodrigo Hernandez selepas mengaktifkan klausa pelepasan pemain tengah itu dengan mencatat rekod bayaran kelab 70 juta euro (RM326.6 juta) hari ini.

Atletico mengesahkan City sudah membayar yuran AS$79 juta (RM410.7 juta) yang secara automatiknya menamatkan kontrak Rodrigo dengan kelab Sepanyol itu.

“La Liga memberitahu Atletico Madrid pada Rabu bahawa wakil Rodrigo Hernandez dan Manchester City mendepositkan amaun klausa pelepasan atas nama pemain itu,” menurut Atletico dalam satu kenyataan.

“Dengan cara ini, pemain itu secara tidak langsung menamatkan kontrak pekerjaan yang mengikatnya kepada kelab kami sehingga 30 Jun 2023.”

Perpindahan Rodrigo akan membawa keuntungan buat Atletico yang membelanjakan sekitar 20 juta euro (RM104 juta) musim panas lalu untuk mendapatkan kembali pemain Sepanyol itu daripada Villareal.

Perpindahannya sudah dijangka dengan kelab itu sudah pun mempertimbangkan untuk mengukuhkan bahagian tengah menerusi kemasukan Marcos Llorente,24, daripada Real Madrid.

Namun pemergian seorang lagi pemain utama bermakna satu lagi perubahan besar menanti Diego Simeone dan pasukannya.

Kapten kelab Diego Godin sudah pun menyertai Inter Milan manakala Lucas Hernandez dijual ke Bayern Munich.

Antoine Griezmann dan Juanfran juga mengucapkan selamat tinggal, dengan Griezmann dijangka menyertai Barcelona selepas klausa pelepasannya diturunkan kepada 120 juta euro (RM560 juta) pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 12:42 AM