Azizulhasni berada tempat ke-9 di Jerman. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang masih belum ‘panas’ pada penampilan pertamanya selepas Kejohanan Dunia pada Februari lalu.

The Pocketrocketman bersama-sama Shah Firdaus Sahrom, Mohd Fadhil Zonis serta pelumba wanita, Anis Amira Rosidi menyertai Grand Prix von Deutschland 2019 di Jerman, hujung minggu lalu.

Sandaran emas Olimpik Tokyo yang tampil buat kali pertama atas nama pasukannya sendiri, Team Azizul, menduduki tempat kesembilan keseluruhan dalam acara pecut individu.

Manakala dua pelumba Sime Darby Team, Shah Firdaus dan Fadhil masing-masing menduduki tempat ke-10 dan 13. Bagi acara keirin, Fadhil bagi paling cemerlang berada di kedudukan ke-13 keseluruhan diikuti Azizulhasni (19) dan Shah Firdaus (25).

Ketua jurulatih negara, John Beasley tidak terkejut kerana sudah menjangkakannya selepas memberi fokus dalam meningkatkan otot jisim sejak empat bulan lalu.

"Agak gembira dengan keputusan dicatatkan kerana saya sudah merasakan mereka akan bergelut apabila latihan tidak memberi fokus kepada aspek kepantasan, sebaliknya membina otot jisim.

"Hanya dua sesi di trek berbanding empat sesi di gimnasium. Malah ini adalah kejohanan pertama selepas Kejohanan Dunia di Poland," katanya.

Barisan pelumba negara dalam peringkat awal untuk mengumpul mata bagi menyertai kejohanan lebih besar seperti siri Piala Dunia.

Mereka dijadual menyertai Dublin Track Cycling International di Ireland hujung minggu nanti dan kekal berlatih di Eropah sebelum pulang menyertai Kejohanan Grand Prix Asia Tenggara di Nilai, Negeri Sembilan pada penghujung Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 3:24 PM