Norazlan tidak mahu berharap kepada ihsan lawan. FOTO NSTP
Norazlan tidak mahu berharap kepada ihsan lawan. FOTO NSTP
Asrol Awang


FELDA United FC yang kini berada di tangga tercorot Liga Super tidak mahu bergantung kepada ihsan lawan untuk kekal di liga itu musim depan.

Sebaliknya, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil mahu berusaha mengutip mata maksimum dalam lima baki perlawanan.

Justeru, The Fighters akan memulakan misi mengutip tiga mata apabila bertemu Selangor di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, Ahad ini.

Bagi penjaga gol, Norazlan Razali, skuad itu tidak boleh bergantung dan mengharapkan pasukan lain tewas untuk memastikan FELDA United FC kekal dalam Liga Super musim depan.

"Sebaliknya, kami perlu fokus dalam lima baki perlawanan dengan memulakan misi pertama berdepan Selangor Ahad ini. "Biarpun ia dilihat getir buat pasukan, kami perlu melalui satu perlawanan ke satu perlawanan dengan penuh komited untuk memastikan keputusan positif menjadi milik pasukan.

"Kami tidak boleh mengharapkan lawan lain seperti PKNP dan Kuala Lumpur tewas kerana kami perlu konsisten untuk memastikan tidak kehilangan mata pada setiap perlawanan selepas ini," katanya.

Norazlan yang juga bekas penjaga gol kebangsaan berkata, misi utama kelab itu ialah untuk menewaskan Red Giants.

Katanya, biarpun dua perlawanan sebelum ini berpihak kepada FELDA United, Selangor sudah pasti mahu menebusnya kembali.

"Bagi saya, seri 1-1 dalam pusingan pertama Liga Super dan menang 2-1 di pusingan ketiga Piala FA memberi motivasi kepada kami untuk mengulanginya sekali lagi.

"Tapi, pada perlawanan Ahad ini, situasinya sudah pasti berbeza kerana Selangor kini tampil dengan prestasi dan persembahan lebih baik.

"Fokus kepada kemampuan pemain tempatan terbukti apabila menewaskan Kedah 3-2 pada separuh akhir kedua Piala FA tetapi gagal ke final disebabkan peraturan gol di tempat lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 3:48 PM