RAFIQ, Li Jane merai kemenangan mereka di kejuaraan Masters Jelajah Boling Eropah. FOTO ihsan MTBC
Nor Hairulnizam Wahid


BARU beberapa hari menjulang kejuaraan sulung tahun ini menerusi Kejohanan Antarabangsa Singapura, langkah Rafiq Ismail semakin deras apabila menjulang kejuaraan Masters Jelajah Boling Eropah (EBT) di Madrid malam ini.

Tidak cukup dengan satu, Malaysia meraih kejuaraan berganda apabila Sin Li Jane turut menjulang Masters EBT bagi kategori wanita yang turut disempurnakan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman yang menduduki tempat ketiga.

Rafiq mengungguli aksi 12 game dengan 2,751 jatuhan pin mengatasi Kyle Troup dari Amerika Syarikat (2,741) dan Jesper Svensson dari Sweden (2,717).

Li Jane pula mencatat 2,603 jatuhan pin untuk mengatasi Mai Ginge Jensen, Denmark (2,339) dan Siti Safiyah (2,284).

“Yeah, saya gembira dapat menjuarai dua kejohanan berturut-turut. Saya mendahului sehingga game ke-10 tetapi ketinggalan selepas itu dan berjaya bangkit untuk menewaskan pendahulu,” kata Rafiq.

Menurut Li Jane, dia gembira dengan permainannya hari ini apatah lagi ini kali kedua dia menjulang gelaran EBT selepas San Marino pada 2016.

“Saya gembira dengan permainan saya hari ini. Segala-galanya berjalan lancar,” katanya.

Kejayaan Rafiq dan Li Jane pantas mendapat perhatian daripada Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok.

“Kemenangan menakjubkan oleh Rafiq dan Jane dalam Masters EBT serta Siti Safiyah yang menduduki tangga ketiga berdepan saingan pemain boling daripada Jelajah Eropah,” kata Maradona.

“Ia kemenangan berganda bagi Malaysia dalam menakluk Eropah.”

Menurutnya, cabaran anak buahnya di Madrid masih belum berakhir apabila meneruskan aksi di Cabaran Madrid yang akan berakhir hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 11:12 PM