RODRI memperagakan jersi Manchester City selepas diperkenalkan kepada penyokong di Etihad, semalam. — FOTO AFP
AFP

PEMAIN tengah Sepanyol, Rodri menyatakan peluang untuk belajar daripada Pep Guardiola menjadi faktor utama untuk melakukan perpindahan dengan rekod kelab ke Manchester City dari Atletico Madrid.

Kelab juara Liga Perdana Inggeris itu mengumumkan pembelian pemain berusia 23 tahun itu dengan kontrak lima tahun semalam, sehari selepas Atletico mengumumkan klausa tebus kontrak 70 juta euro (RM326 juta) diaktifkan.

Nilai perjanjian itu mengatasi £60 juta (RM311 juta) dibayar City kepada Leicester bagi mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Algeria, Riyad Mahrez tahun lalu.

“Saya harap tahun ini kami meraih kejayaan yang sama atau lebih berbanding dua tahun terakhir,” kata Rodri mengenai City, yang menang tiga trofi domestik di England buat kali pertama musim lalu.


RODRI (kiri) bersaing dengan pertahanan Borussia Dortmund, Achraf Hakimi pada aksi Liga Juara-Juara musim lalu. — FOTO AFP

“Bagi saya ia satu peluang hebat. Ia pasukan hebat dengan pemain hebat di segenap penjuru padang. Saya fikir Pep seorang jurulatih hebat di dunia dan itulah yang menyebabkan saya datang ke sini.

“Ia penting buat saya. Saya mahu belajar dan meningkat sebagai pemain. Saya masih terlalu muda dan banyak perkara boleh dilakukan. Dengan tunjuk ajarnya, saya akan meningkat di sini.”

Pemergian Rodri memberikan keuntungan kepada Atletico, yang membayar 20 juta euro (RM93 juta) pada musim panas lalu untuk mengikatnya semula dari Villarreal sesudah dia dilepaskan daripada akademi mereka ketika masih remaja.

Dia melakukan 47 penampilan buat Atletico, menjaringkan tiga gol ketika anak buah Diego Simeone menghuni tangga kedua La Liga di depan Real Madrid dan memenangi Piala Super Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 7:47 AM