MUHAMMAD Shakir Hamzah (kanan) diasak pemain PKNP FC, Mohd Hafiz Kamal. FOTO Sharul Hafiz Zam
Izzali Ismail


HASRAT Kedah meraih kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian apabila diikat PKNP FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini.

Kedah membuat percubaan seawal minit ke-4 melalui tandukan melalui Renan Alves yang menerima hantaran sepakan sudut oleh Edgar Bernhardt namun percubaannya tesasar di tepi palang.

Kedah yang lebih menguasai permainan terus memburu gol melalui kapten pasukan Baddrol Bakhtiar yang melakukan percubaan sepakan bebas pada minit ke-26 dan Renan Alves selang empat minit kemudian namun kedua-dua percubaan itu tersasar.

Lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, penyerang Kedah Fernando Rodriguez hampir membuka gol perlawanan melalui percubaan satu lawan satu selepas menerima lorongan cantik daripada Baddrol Bakhtiar, namun penjaga gawang PKNP Khairul Thaqif Shah berjaya menampan bola keluar.

Bermula babak kedua perlawanan, pemain sayap Kedah Azzamudin Akil menceriakan penyokong dengan gol pada minit ke-51 selepas mudah menolak bola masuk di depan gawang lawan hasil hantaran penyerang Fernando Rodriguez.

PKNP bangkit mencari gol penyamaan melalui percubaan sepakan bebas pada minit ke-66 oleh Hafiz Kamal namun ditepis Ifwat Akmal dan percubaan kedua oleh Yashir Pinto juga gagal menghasilkan gol.

Kedah terlepas peluang menambah gol pada minit ke-76 apabila mendapat peluang sepakan bebas dalam kotak penalti melalui Renan Alves namun percubaan itu terus ke dakapan penjaga gawang PKNP.

PKNP akhirnya mendapat gol penyamaan pada minit ke-81 hasil percubaan pemain import Giancarlo Rodrigues yang menanduk cantik menewaskan Ifwat Akmal.

PKNP hampir menambah gol dihujung perlawanan apabila penyerang Ramon Da Silva menanduk masuk ke gawang Kedah namun jaringan berkenaan dibatalkan kerana ofsaid.

Kedah terus memburu gol hingga kehujung perlawanan namun kedudukan seri hingga tiupan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 12:24 AM