PAUNOVIC (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


PENANTIAN untuk kembali ke saingan Liga Super selepas 14 tahun tampak semakin menjadi kenyataan buat Sabah selepas menang tipis 1-0 menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.

Sabah kini selesa mengukuhkan kedudukan di tangga teratas selepas mengumpul 37 mata dengan tiga perlawanan bagi merealisasikan impian kembali ke kancah liga elit domestik manakala pencabar terdekat JDT II yang kekal mengumpul 33 mata hanya berbaki dua perlawanan.

Pertembungan dua pasukan di kelompok teratas liga menyajikan aksi menarik dan tuan rumah lebih awal mengundang cemas pada minit keenam selepas bola umpanan Nicolas Fernandez menyaksikan Rozaimi Abd Rahman hampir mencipta jaringan namun bola rembatan leret sekadar terkena tiang gol.

Skuad Tambadau juga memilik peluang pada minit ke-20 selepas bola tolakan Rodoljub Paunovic membuka ruang buat Aguinaldo Mendes Veiga berjaya melepasi Bruno Soares dan turut memperdaya penjaga gol, Haziq Nadzli namun gagal melakukan penyudah tepat ketika gawang gol terbuka luas.

Selang dua minit kemudian, Paunovic terlepas peluang mencetak nama selaku penjaring apabila bertindak menyepak bola lambung dari jarak 40 meter selepas melihat Haziq sudah tidak berada di gawang gol tetapi bola lambungan itu hanya melewati palang gol.

Apa yang dipamerkan kedua-dua pasukan sepanjang 45 minit babak pertama cukup mendebarkan dan beberapa insiden permainan keras membabitkan pemain JDT II dan Sabah masih mampu dikawal pengadil, Mohd Ridzuan Rozali dan kedudukan 0-0 kekal sehingga berakhir separuh masa pertama.

Pelawat terpaksa menanti sehingga minit ke-59 untuk memecah kebuntuan jaringan selepas bola sepakan deras Paunovic dari jarak 30 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Haziq untuk meletak skuad kendalian Jelius Ating mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, ketua jurulatih JDT II, Ervin Boban mengarahkan Soares untuk mengemudi jentera serangan dengan mengeluarkan Rozaimi dan memasukkan Adib Zainuddin mengisi posisi Soares.

Namun perubahan taktikal itu tidak membuahkan hasil apabila skuad Merah Biru terpaksa akur tewas 0-1 di laman sendiri kepada skuad Tambadau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 12:42 AM