MANE (kiri) meledak gol tunggal kemenangan Senegal pada minit ke-15 di Stadium Antarabangsa Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Senegal, Sadio Mane meneruskan aksi tidak menentu apabila dia menjaringkan gol ketiga pada Piala Negara Afrika namun turut terlepas satu penalti buat aksi kedua berturut-turut ketika pasukannya menewaskan Uganda 1-0 untuk layak ke suku akhir, awal pagi tadi.

Mane memecah kebuntuan selepas 15 minit pada perlawanan penuh fizikal itu ketika Senegal menghukum kesilapan Uganda, yang layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam tempoh 41 tahun.

Bagaimanapun dia mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan kedudukan Senegal apabila sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Denis Onyango pada minit ke-61 perlawanan yang menampilkan 45 kekasaran di Stadium Antarabangsa Kaherah yang hampir kosong.

Senegal akan bertemu pasukan bukan pilihan Benin pada suku akhir selepas terdahulu Squirrels menewaskan Maghribi menerusi penentuan penalti sesudah seri 1-1.


MANE gagal menyempurnakan penalti buat aksi kedua berturut-turut. — FOTO AFP

Mane sudah mengambil tiga sepakan penalti pada pusingan akhir, terlepas satu dan menyempurnakan satu ketika menang 3-0 ke atas Kenya yang mana dia turut meledak gol menerusi permainan terbuka, sebelum terlepas sekali lagi awal pagi tadi.

Jurulatih Senegal, Aliou Cisse bagaimanapun menegaskan dia tetap menjadi pengambil sepakan penalti pasukan itu.

“Sebagai kapten, dia mendapat keyakinan kami dan dia akan kekal sebagai pengambil sepakan penalti nombor satu,” kata Cisse kepada wartawan. “Saya akan bercakap dengannya mengenai perkara ini.

“Kami bernasib baik mendapat gol awal... ia satu perlawanan yang penuh kekasaran tapi ia aksi Afrika dan itulah hakikatnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 7:40 AM