POGBA sudah tiada hati di Manchester United. — FOTO Reuters
AFP

EJEN Paul Pogba, Mino Raiola “dalam proses” menguruskan perpindahan pemain Perancis itu dari Manchester United, katanya kepada akhbar The Times semalam.

Pemain tengah itu mengharungi kempen turun naik di Old Trafford sejak hadir pada 2016 dengan bayaran rekod dunia ketika itu 105 juta euro (RM487 juta) dari Juventus.

Raiola mendakwa bos Manchester United tahu pemenang Piala Dunia itu mahu meninggalkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

“Setiap orang dalam kelab itu, daripada pengurus hingga pemilik, mereka tahu harapan Paul,” kata Raiola dalam temu bual bersama akhbar Britain, The Times.


POGBA (tengah) ketika beraksi menentang Barcelona dalam Liga Juara-Juara, April lalu. — FOTO Agensi

“Setiap orang tahu keinginan Paul untuk berpindah. Kami dalam proses melakukannya. Setiap orang tahu apa perasaan Paul.”

Raiola turut meragui sama ada Pogba akan menyertai skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer bagi aksi pramusim di Australia ketika pemain akan berlepas esok.

United sebelum ini menegaskan Pogba akan berada dalam penerbangan.

Sekalipun menjaringkan 16 gol musim ini, separuh daripadanya menerusi sepakan penalti, Pogba sering dikritik kerana sumbangannya di bawah kendalian Jose Mourinho dan Solskjaer ketika United mengakhiri kempen Liga Perdana di tangga keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 10:30 AM