HENDRAWAN (kanan) bersama Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. — FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk meneruskan khidmat jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, Hendrawan akan terus menabur bakti hingga kontraknya tamat tahun depan.

Pemain yang akan berada di bawah pemantauannya adalah Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Lim Chong King dan Cheam June Wei.

Hendrawan memulakan tugasnya di negara ini pada 2009 dan pernah menjadi jurulatih pelapis perseorangan lelaki negara.

Juara dunia 2001 itu mula membimbing jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei sejak 2015 selepas kes doping.

Kontraknya akan berakhir tahun depan selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketika berkhidmat dengan BAM, beliau pernah dipanggil sebanyak dua kali untuk berkhidmat semula bersama Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Sementara itu, bekas Pengurus Besar BAM, Kenny Goh kembali semula ke badan induk itu untuk memangku jawatan Setiausaha Agung.

Beliau juga akan memegang jawatan pengerusi jawatankuasa kejurulatihan dan latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 2:27 PM