LYLES meraikan kejayaan menjuarai 200m lelaki Liga Berlian Lausanne, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

PELARI Amerika Syarikat, Noah Lyles muncul lelaki keempat terpantas 200 meter dalam sejarah dengan kemenangan menakjubkan pada kejohanan Liga Berlian apabila mencatat 19.50 saat di Lausanne, Switzerland, awal pagi tadi.

Pelari berusia 21 tahun itu dijangka berdepan saingan sengit Andre De Grasse, namun pelari Kanada itu ketinggalan di tangga ketiga ketika Lyles melaungkan amaran menjelang Kejohanan Dunia di Doha, September depan.

“Oh Tuhanku, adakah gila jika saya katakan ya?” kata Lyles apabila ditanya jika dia menjangkakan untuk berlari sepantas itu.

“Kejohanan dunia – saya menantinya sejak 2017, terlalu lama, tapi saya tidak tertekan kerana saya tidak pernah bertanding pada kejohanan besar.”


LYLES bergambar di depan papan elektronik dengan rekod baharu kejohanan. — FOTO EPA

Hanya pemegang rekod dunia Usain Bolt (19.19s), rakan senegaranya dari Jamaica, Yohan Blake (19.26s) dan pemenang empat pingat emas Olimpik, Michael Johnson (19.32s) berlari lebih pantas.

Lyles kini mengintai peluang pada Kejohanan Olahraga AS dari 25 hingga 28 Julai di Iowa untuk membuktikan kehebatannya.

“Saya lebih kecewa kerana ujian pemilihan ditangguhkan hingga Julai (daripada Jun),” katanya. “Ia membuatkan saya menunggu lebih lama dan saya mahu membuktikan saya yang terbaik.”

Pelari Ecuador, Alex Quinonez meraih tangga kedua dengan masa 19.87s diikuti De Grasse (19.92s).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 3:10 PM