Fabio Quartararo mendahului peserta lain. FOTO Ihsan Petronas Yamaha SRT
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quartararo terus mempamer aksi cemerlang apabila bakal bermula di barisan depan pada Grand Prix (GP) Jerman esok.

Quartararo mencatat masa 1 minit 20.400 saat pada sesi kelayakan hari ini untuk bermula di petak kedua saingan MotoGP esok di belakang pelumba Repsol Honda, Marc Marquez yang mencatat masa terpantas 1'20.195s.

Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales pula meraih petak ketiga selepas melakukan catatan 1'20.406s.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli mencatat 1'20.964s untuk memulakan perlumbaan di tempat ketujuh.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi bersama Red Bull KTM Tech 3 pula akan bermula di petak ke-18.

Sementara itu, dalam saingan Moto3, pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki menyambar petak pertama esok selepas mencatat masa terpantas di sesi kelayakan hari ini.

Sensasi Jepun itu mencatat masa terpantas 1 minit 26.135 saat mengatasi rakan senegara, Kaito Toba (Honda Team Asia) yang hanya ketinggalan 0.057 di tempat kedua.

Rakan sepasukan Ayumu, John McPhee dari Britain pula mencatat masa ke-10 terpantas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 10:29 PM