Pemain Kuala Lumpur, Zhafri Yahya diasak pemain Pahang, Matthew Davies (kiri) dalam perlawanan Liga Super. FOTO Muhammad Asyraf Sawal


PAHANG menewaskan Kuala Lumpur, 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Kemenangan itu meletakkan skuad Tok Gajah kembali berada di kedudukan kedua Liga Super manakala The Hawks kekal di tangga ke-11 dalam zon penyingkiran.

Namun, pada perlawanan itu, tuan rumah yang merehatkan beberapa pemain utama termasuk Dickson Nwakaeme tidak memberi ancaman kepada lawan.

Peluang terbaik Pahang hanya hadir untuk gol pendahuluan tetapi penyerang import, Lazarus Kaimbi gagal menyudahkan sepakan penalti apabila penjaga gol Kuala Lumpur, Mohamad Faridzuean Kamaruddin berjaya menepis keluar pada minit ke-27.

Kedua-dua pasukan gagal menembusi jaringan sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Babak kedua, menyaksikan skuad Tok Gajah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali dan tuan rumah tidak lagi mempersia-siakan peluang apabila pemain import, Herold Goulon mudah menyempurnakannya pada minit ke-57.

Jaringan itu menyaksikan Pahang mula memberi tekanan kepada pertahanan lawan yang bertungkus lumus mempertahankan gawang dibolosi.

Pada masa kecederaan, pemain tengah, Nor Azam Azih menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah untuk mengecewakan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 11:07 PM