Pemain TFC II, Haidir Husaini (kiri) diasak pemain Pulau Pinang, Kang Seungjo pada perlawanan Liga Perdana. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


PULAU Pinang memilih jalan berliku untuk mengintai slot ke saingan Liga Super musim depan selepas sekadar seri 0-0 dengan Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Corak permainan kedua-dua pasukan pada babak pertama nampak seimbang dengan beberapa percubaan menarik menerusi rangkaian penyerang masing-masing.

Percubaan pertama daripada skuad The Turtles menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pemain tengah menyerang, Zuasyraf Zulkiefle pada minit kesembilan, namun sedikit tersasar melepasi palang gol.

Percubaan kedua skuad TFC II menerusi kapten, Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-21 juga gagal membuahkan hasil selepas bola rembatannya dalam kotak penalti dapat dibaca penjaga gol, Zamir Selamat, begitu juga tandukannya pada minit ke-37 terkena palang gol.

Skuad Pulau Mutiara juga berpeluang mencetak jaringan menerusi Rahizi Rasib minit ke-40, Julian Bottaro minit ke-43 dan rembatan deras Mohamad Al Hafiz Harun dua minit selepas itu juga gagal memecah kebuntuan.

Babak kedua, anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid nampak lebih agresif dengan asakan bertali arus ke kubu tuan rumah, tapi masih gagal menemui sentuhan jaringan.

Kedua-dua pasukan terus gagal menjaringkan gol sehingga tamat masa perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 11:14 PM