LORCH (kanan) melakukan percubaan yang menghasilkan gol tunggal perlawanan di Stadium Antarabangsa Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

THEMBINKOSI Lorch meledak pada minit ke-85 untuk membantu Afrika Selatan menyingkirkan tuan rumah Piala Negara Afrika, Mesir 1-0 pada aksi pusingan 16 terakhir di Kaherah, awal pagi tadi.

Selepas tiga aksi peringkat kumpulan yang hambar, Afrika Selatan dianggap bukan pasukan pilihan menentang juara Afrika tujuh kali itu, yang turut menampilkan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Pertembungan sengit itu diputuskan apabila satu serangan balas pantas membolehkan Lebo Mothiba melorongkan kepada Lorch yang berjaya menewaskan penjaga gol Mohamed Elshenawy.

Afrika Selatan jelas jauh berbeza daripada pasukan yang bergelut pada peringkat kumpulan ketika mereka mempamerkan ketajaman dan keinginan yang tidak dilihat sebelum ini.

SALAH (tengah) kelihatan kecewa selepas gagal membantu kemaraan tuan rumah. — FOTO Reuters

Mereka akan berdepan musuh tradisi Nigeria, yang terdahulu mengetepikan juara bertahan Cameroon di Iskandariah, pada suku akhir.

Salah, yang terlepas beberapa sesi latihan pada pertengahan minggu kerana selesema, dikawal ketat benteng pertahanan Afrika Selatan.

Mesir menukar tiga pemain dalam pasukan yang mengalahkan Uganda bagi melengkapkan rekod kemenangan 100 peratus dalam Kumpulan A, menjaringkan lima gol dan tidak dibolosi.

Kekecewaan Mesir, yang menyumbat semua lima gol peringkat kumpulan sebelum rehat, terserlah dengan reaksi berang Salah apabila dia tidak diberikan sepakan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:55 AM