Sangari tewaskan Satomi dalam saingan empat set. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


PEMAIN skuasy wanita negara S Sivasangari bangkit daripada ketinggalan untuk merangkul gelaran juara Terbuka Australia ketika seorang lagi wakil negara Syafiq Kamal kecundang di perlawanan akhir yang berlangsung di Bega, New South Wales, Australia.

Ia adalah gelaran yang ke-11 dalam siri Jelajah PSA buat Sivasangari yang kini menghuni ranking ke-48 dunia.

Sivasangari menewaskan seteru utamanya ketika remaja, Satomi Watanabe 5-11, 11-9, 11-9, 11-9 pada pertemuan pertama mereka dalam saingan senior.

Kemenangan itu menjadikan Sivasangari pemain negara yang ketiga menjuarai Terbuka Australia selepas Nicol David pada 2011 dan 2012 serta Low Wee Wern tahun lalu.

Ia juga gelaran kedua buat Sivasangari, 20, yang juga juara kebangsaan tahun ini selepas bergelar juara di Kejohanan Racquet Club Pro Series di Missouri awal tahun ini.

Sementara itu impian Syafiq, 22, yang mahu mengulangi kejayaan rakan senegara Ng Eain Yow yang memenangi Terbuka Australia pada 2017 tidak kesampaian.

Syafiq gagal mengekang kehebatan pemain pilihan, Victor Crouin dari Perancis apabila tewas 8-11, 5-11, 4-11.

Ia adalah kekalah ketiga buat Syafiq di perlawanan akhir Jelajah PSA tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 6:25 PM