Ryan Stanley


KEJAYAAN layak ke Liga Super menyemarakkan semangat Sabah untuk memastikan kejuaraan Liga Perdana musim ini menjadi milik mereka apabila bertandang ke Shah Alam bertemu UiTM FC, malam esok.

Sekiranya skuad Tambadau menang, mereka akan dinobat sebagai juara sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi.

Pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata selepas menundukkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan mengesahkan tempat ke Liga Super, minggu lalu, skuad bimbingan Jelius Ating semakin bersemangat untuk menjulang trofi Liga Perdana musim ini.


Peter (kanan) mendengar taklimat daripada Jelius (kiri) di padang latihan Sabah. FOTO NSTP

"Pertemuan dengan JDT II di Pasir Gudang umpama final ke Liga Super, menang dan menamatkan penantian tujuh tahun pasukan Sabah untuk kembali ke saingan utama bola sepak negara itu.

"Menentang UiTM FC di Stadium UiTM juga umpama satu lagi final dan kita mahu memenanginya untuk ditabal selaku juara Liga Perdana," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Peter berkata, pemain perlu memberikan persembahan terbaik dengan berjuang habis-habisan untuk memburu kemenangan, seperti mana yang dipamerkan pada aksi bertemu JDT II lalu.

"Kelebihan memihak kepada kita, ada tiga peluang dari baki tiga perlawanan untuk raih gelaran juara dan kita tentunya mahu memanfaatkan peluang ini terutama dengan pasukan kini di tahap terbaik serta begitu bersemangat.

"Kita akan beraksi tanpa tiga pemain utama termasuk dua import tetapi saya yakin siapapun diturunkan mampu menggalas tugas yang diberikan.

Malah, saya percaya barisan jurulatih sudah ada perancangan terbaik untuk menyelesaikan misi esok," katanya.

Tambadau akan bermain tanpa Park Taesu serta Ahmet Atayev dan Randy Baruh Samson selepas mereka digantung perlawanan gara-gara jumlah kad kuning dikumpul.

"Saya merayu kepada penyokong Tambadau terutama yang ada di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk datang beramai-ramai memberi sokongan moral kepada pasukan sebagaimana diberikan mereka di Pasir Gudang," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 2:59 PM