ZOLA (kiri) banyak belajar daripada Sarri (tengah). — FOTO Agensi
Reuters

BEKAS penyerang Chelsea, Gianfranco Zola percaya kelab London itu melepaskan Maurizio Sarri terlalu awal dan berkata, mereka akan mendapat faedah jika jurulatih dari Itali itu diberi lebih masa dan peluang.

Sarri berpindah ke Juventus selepas satu musim di Stamford Bridge yang mana beliau mengemudi kejayaan Chelsea memenangi Liga Europa dan tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Beliau digantikan oleh bekas pemain tengah Chelsea dan penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman Frank Lampard minggu lalu.

“Saya fikir hasil kerja terbaik Maurizio bukannya hadir pada tahun pertama tapi lebih lagi bermula tahun kedua,” kata Zola, yang menjadi pembantu Sarri.

“Lihat kepada cara beliau bekerja, ia mengambil sedikit masa untuk benar-benar menjadi dan apa yang beliau mahu lakukan. Tapi selepas pemain biasa dengannya, mereka akan lebih bagus dan bagus dan kerja itu menjadi lebih efektif.

“Sedih juga, kerana saya fikir lebih bagus buat kelab jika Maurizio kekal dan ia juga bagus buat Maurizio sendiri.”

Zola turut meninggalkan kelab yang pernah diwakilinya susulan pemergian Sarri dengan bekas pemain tengah Chelsea, Jody Morris serta Chris Jones, kedua-duanya bekerja di samping Lampard di Derby, hadir ke Stamford Bridge.

“Jelas ia menyakitkan kerana anda berada di tempat yang anda suka dan terlalu bermakna buat anda,” kata Zola.

Zola berkata, beliau akan mengintai peluang bekerja dalam kancah bola sepak Inggeris dan berterima kasih kepada Chelsea serta Sarri kerana “satu pengalaman belajar mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 1:37 PM