Chong King pamer persembahan menyakinkan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


PENGARAH kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mempunyai alasan tersendiri mengapa Lim Chong King terpisah bersama rakan-rakan seangkatannya dan berada di bawah bimbingan Hendrawan.

Menurutnya, pemain perseorangan lelaki negara itu layak berada bersama Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Soong Joo Ven kerana berjaya menunjukkan persembahan baik dalam dua kejohanan sebelum ini.

"Ketika dalam suasana tegang di kejohanan dia mampu untuk bermain baik. Bukan saja di Kejohanan Kebangsaan.

Tetapi dalam Siri Antarabangsa Malaysia baru-baru ini dia berjaya menumpaskan pilihan ketiga dari Kanada (Sheng Xiaodong) dan pemain muda Indonesia (Muhammad Febriansyah)," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Choong Hann, selain mempunyai ketenangan beliau mahu memberikan layanan sama rata buat pemain muda untuk berkembang.

"Saya mahu pemain muda seperti Chong King boleh mengikut pengalaman dan mengorak langkah tonggak senior.

"Mereka boleh berkongsi pengalaman selepas perlawanan, bersembang mengenai analisis dan taktikal.

Saya mahu mereka lebih terbuka untuk belajar sesuatu bukan hanya menerusi pengalaman sendiri saja," kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Choong Hann juga mahu pemain berusia 19 tahun itu menunjukkan peningkatan lebih pantas dan bersedia untuk menyinar pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau juga berharap sentuhan Hendrawan bukan saja mampu untuk memberi impak di Sukan SEA dan Piala Thomas malah ketika kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020. "Kalau kita lihat kelayakan Olimpik sekarang ini tumpuan lebih terarah kepada Zii Jia tapi saya harap lebih dari itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 4:43 PM