SITI Safiyah duduki tempat keempat Madrid Challenge.
Nor Hairulnizam Wahid

MESKIPUN kempen di Madrid berakhir dengan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menduduki tangga keempat kejohanan Madrid Challenge kelmarin, ia boleh dianggap pencapaian membanggakan buat skuad tenpin boling negara dengan lebih banyak kejohanan besar menanti selepas ini.

Apatah lagi dengan misi lebih besar menanti skuad wanita untuk mempertahankan gelaran di Kejuaraan Boling Wanita Dunia di Las Vegas, Ogos ini.

Siti Safiyah yang mara ke separuh akhir, tewas kepada pemain Sweden, William Svensson. “Siti bermain dengan baik dan sudah pasti dengan keyakinan meningkat, ia bagus buat pasukan wanita untuk mempertahankan kejuaraan mereka,” kata Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia Maradona Chok.

Siti Safiyah, bersama Shalin Zulkifli, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Sin Li Jane dan Natasha Roslan menewaskan Singapura pada aksi final kejohanan berkenaan tahun lalu, 214-209, 188-177.

Jelas beliau ia pencapaian membanggakan apatah lagi ini kali pertama mereka beraksi di Madrid Challenge.

“Ia persembahan yang baik daripada mereka apatah lagi baru sahaja beraksi di Terbuka Singapura (minggu sebelumnya),” kata Maradona.

“Malah pemain muda turut mempamerkan keberanian dan peningkatan dalam permainan seperti Hafiz Zainuddin dan Nerosha Keligit. Ia sesuatu yang bagus bagi kami.”

Perjalanan mereka ke Madrid bermula dengan kejutan apabila Rafiq Ismail dan Sin Li Jane, masing-masing menjuarai Divisyen Lelaki dan Wanita Masters Jelajah Boling Eropah (EBT) awal minggu lalu dengan Siti Safiyah menduduki tangga ketiga.

Malah pada minggu sebelumnya Rafiq menamatkan kemarau kejuaraannya tahun ini dengan gelaran Terbuka Singapura.

“Selepas ini mereka akan ke Terbuka Hong Kong, kecuali pasukan wanita ke Kejuaraan Dunia di mana mereka akan memulakan latihan berpusat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 10:30 PM