PEMAIN TFC, Ahmad Syamim Yahya (tengah) mengasak pemain Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad

JARINGAN Kipre Tchetche dalam masa kecederaan membolehkan Terengganu FC (TFC) mengikat Kedah 2-2 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Pada aksi berkenaan, Kedah hanya memerlukan tiga minit mendahului Terengganu menerusi tandukan cantik pemain kelahiran Singapura, Shakir Hamzah hasil sepakan sudut Edgar Bernhardt.

Ketinggalan satu gol, skuad kendalian penolong jurulatih, Mohamad Nik hampir menyamakan kedudukan pada minit ketujuh tapi tolakan penyerang sensasinya, Tchetche dapat dibaca penjaga gol, Abdul Hadi Abdul Hamid.

Selepas itu permainan kian rancak apabila pelawat nyaris menambah gol melalui lambungan cantik pemain import, Fernando Rodriguez pada minit ke-28 yang hampir memperdaya penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Memasuki minit ke-32, gol yang dinantikan skuad Penyu akhirnya menjelma melalui rembatan kencang pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov dari luar kotak penalti yang juga jaringan ketujuhnya musim ini.

Selepas itu TFC berpeluang menambah jaringan menerusi Tchetche yang hanya berdepan dengan penjaga gol, tapi tolakannya sekali lagi dapat dibaca penjaga gol.

Berbaki beberapa saat sebelum menuju ke bilik persalinan, kapten Helang Merah, Baddrol Bakhtiar menceriakan kem pasukan a apabila tandukan tajamnya hasil sepakan percuma Bernhardt gagal ditangkap kemas penjaga gol untuk skuadnya mendahului 2-1.

Memasuki minit ke-68 perlawanan, pelawat terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pemain pertahanan, Azmeer Yusof diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain gantian, Malik Mat Ariff.

Kelebihan itu dimanfaatkan pemain skuad Penyu menerusi jaringan penyamaan Tchetche dalam masa kecederaan menerusi tandukan selepas menerima umpanan daripada Malik untuk mengikat kedudukan 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 11:26 PM