PEMAIN Negeri Sembilan, Jose Almir (kiri) diasak pemain JDT II, Muhammad Azrul Haziq di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan (NS) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Johor Darul Ta`zim II (JDT II) 3-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu mencerahkan peluang buat skuad Hobin Jang Hobin mengintai kedudukan kedua terbaik carta sekali gus melayakkan diri ke saingan Liga Super musim hadapan.

Bagaimanapun, NS perlu meneruskan rentak kemenangan itu pada baki dua perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UiTM selepas ini.

Turun dengan misi mendapatkan tiga mata, NS mengatur gerak seawal permainan dengan serangan pantas ke kawasan pintu gol lawan.

Mereka mendapat peluang menjaringkan gol pada minit ke-4 menerusi tandukan Igor Luiz namun dapat ditepis penjaga gol JDT II, Muhamad Haziq Nadli.

Kesilapan pertahanan JDT II yang gagal menghantar bola dengan kemas pantas dimanfaatkan Jose Almir Neto yang bijak menyambar bola sebelum menolak ke gawang pelawat bagi gol pertama tuan rumah pada minit ke-11.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Rozaimi Abd Rahman menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-28 selepas Danial Hadri Efendi menjatuhkan pemain lawan untuk kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, NS menggandakan asakan dan berjaya mendapat gol kedua pada minit ke-62 menerusi tendangan padu Matheus Fernandes dari jarak kira-kira 40 meter dari kawasan tengah padang yang di luar jangkauan Haziq sebelum Igor Luiz menambah derita JDT II menerusi gol ketiga pada minit ke-86.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 11:46 PM