PASUKAN Sabah meraikan kemenangan menewaskan UiTM FC sekali gus muncul juara Liga Perdana di Stadium  UiTM Shah Alam. - FOTO Saddam Yusoff

SABAH mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini selepas menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan, tujuh mata mengatasi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di kedudukan kedua.

Skuad kendalian Jelius Ating yang sudah mengesahkan tempat ke Liga Super pada Jumaat lalu dinobatkan juara susulan JDT II yang berbaki satu perlawanan lagi sudah tidak mampu untuk mengejar kelebihan perbezaan tujuh mata dimiliki Sabah.

KETUA jurulatih Sabah, Jelius Ating dijulang anak buahnya di Stadium  UiTM Shah Alam.

Sabah bagaimanapun tidak berdepan laluan mudah sebelum meraih kejuaraan itu apabila mereka ketinggalan pada minit ke-31 hasil sepakan percuma pemain import UiTM, Zarko Korac.

Pelawat terpaksa menunggu hingga minit ke-57 untuk menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Rodoljub Paunovic selepas bola terkena tangan pertahanan UiTM.

Aguinaldo muncul wira Sabah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-66 selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Ricco Milus untuk mengesahkan kejuaraan liga milik skuad Tambadau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 11:54 PM