SERENA menjerit kegembiraan selepas menundukkan Alison pada suku akhir Wimbledon, lewat malam tadi. — FOTO AFP
AFP

JUARA tujuh kali Serena Williams hanya dipisahkan dua kemenangan untuk menyamai rekod gelaran 24 Grand Slam milik Margaret Court sekalipun dia bergelut beberapa kali pada aksi suku akhir Wimbledon menentang Alison Riske, lewat malam tadi.

Pemain berusia 37 tahun itu, yang melakar kemenangan ke-97 di Wimbledon untuk melonjak ke tangga kedua dalam senarai sepanjang zaman wanita, ditekan hebat rakan senegaranya dari Amerika Syarikat sebelum menang 6-4, 4-6, 6-3 dalam masa dua jam.

Menanti Serena bagi penampilan separuh akhir ke-12 di Wimbledon adalah pemain bukan pilihan dan veteran Republik Czech, Barbora Strycova.

Pemain AS itu menyatakan dia tidak akan mengambil mudah cabaran pemain berusia 33 tahun itu ketika lawan sudah membenam empat pemain pilihan dalam laluan ke separuh akhir.


SIMONA membalas pukulan Zhang pada suku akhir Wimbledon di Kelab All England. — FOTO Reuters

“Dia bagus di gelanggang rumput,” kata Serena mengenai Barbora. “Dia tahu apa yang patut dilakukan. Dia mempunyai permainan seimbang dari semua segi.

“Dia juga boleh mengelirukan anda dengan pukulannya. Pastinya ia tidak mudah. Tapi ia sesuatu yang saya tunggu-tunggu.”

Jelas keputusan dalam kategori wanita sukar diramalkan memandangkan Serena satu-satunya pemain pada suku akhir yang layak ke peringkat sama tahun lalu.

Turut menyertainya pada separuh akhir bekas pemain nombor satu dunia dari Romania, Simona Halep, yang bangkit daripada ketinggakan 1-4 pada set pertama sebelum menundukkan pemain China, Zhang Shuai 7-6 (7/4), 6-1.

Bagi Simona – selain Serena satu-satunya pemain pada suku akhir yang pernah memenangi Grand Slam selepas menjuarai Terbuka Perancis tahun lalu – ia penampilan keduanya pada separuh akhir Wimbledon.

Simona akan berdepan Elina Svitolina, pilihan kelapan dari Ukraine, yang bangkit daripada ketinggalan susulan ‘break’ dalam setiap set untuk menewaskan Karolina Muchova 7-5, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 8:02 AM