MURRAY tidak mungkin beraksi acara perseorangan di Terbuka AS. — FOTO Reuters
AFP

ANDY Murray menolak kemungkinan beraksi dalam acara perseorangan pada Terbuka Amerika Syarikat, menegaskan ia mungkin mengambil masa 18 bulan sebelum dia sedia untuk kembali.

Pemain dari Scotland berusia 32 tahun itu membayangkan selepas pembedahan pinggul dan aksi beregu yang meyakinkan di Wimbledon, mungkin mampu memberi jalan bagi penampilan dramatik pada Grand Slam terakhir musim Ogos dan September ini.

Bagaimanapun, di sebalik layak ke pusingan ketiga beregu campuran bersama Serena Williams, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dia tidak akan kembali bagi acara perseorangan di New York yang mana dia menang gelaran Slam pertama pada 2012.

“Saya fikir ia tidak mungkin dari segi masa. Banyak perkara saya perlu lakukan dari segi fizikal, untuk menguatkan saya semula,” kata Murray, ranking dunianya merudum ke tangga ke-227.


MURRAY (kiri) dan Serena layak ke pusingan ketiga acara beregu campuran di Wimbledon. — FOTO AFP

“Latihan keras yang perlu saya lakukan di gelanggang untuk bersedia bagi perseorangan, jumlah kerja perlu saya lakukan di luar gelanggang untuk menguatkan mental saya bermain hingga lima set, ia masih jauh lagi.”

Perlawanan terakhir Murray dalam acara perseorangan adalah pada Terbuka Australia Januari lalu yang mana dia kalah dalam lima set pada pusingan pertama di tangan pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut.

Semalam, Murray dan Serena layak ke pusingan ketiga beregu campuran di Wimbledon apabila menang 7-5, 6-3 ke atas Fabrice Martin dan Raquel Atawo.

Mereka berdepan pilihan utama Bruno Soares dan Nicole Melichar bagi memburu tempat ke suku akhir.

Murray turut beraksi acara beregu lelaki di Wimbledon berpasangan dengan Pierre-Hugues Herbert dan sudah layak ke pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 10:32 AM