MORENO gembira menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Liverpool di Madrid, awal bulan lalu. — FOTO Getty Images
Agensi

BEKAS pertahanan Liverpool, Alberto Moreno kembali ke negara asalnya apabila melengkapkan perpindahan secara percuma ke Villarreal.

Kontrak lima tahun pemain Sepanyol itu di Anfield berakhir pada musim panas kali ini. Dia hadir dari kelab La Liga Sepanyol, Sevilla pada 2014.

Moreno melakukan 141 penampilan buat Reds dan menjaringkan tiga gol, termasuk satu gol solo menakjubkan ketika membuat penampilan sulung menentang Tottenham Hotspur di White Hart Lane.

Bagaimanapun, peluangnya agak terhad susulan ketibaan Juergen Klopp, yang lebih suka menggunakan James Milner di pertahanan kiri dalam musim penuh pertamanya sebelum membawa masuk Andy Robertson dari Hull City.

BERITA mengenai perpindahan Moreno disahkan dalam Twitter Villarreal. — FOTO Twitter Villarreal

Pemain berusia 27 tahun itu mengepos satu ucapan perpisahan di media sosial apabila pemergiannya dari Liverpool disahkan awal bulan ini.

“Kehidupan bagaikan roda dan karier saya di Liverpool FC yang disayangi sudah berakhir.

“Saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh keluarga Liverpool; rakan sepasukan saya, yang mana saya berkongsi lima tahun mengagumkan dan akan selamanya saya anggap sebagai keluarga serta sudah tentu pemilik, pengarah, staf kejurulatihan, doktor, fisio, kitmen dan setiap orang di kelab ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 12:49 PM