AKSI pemain Melaka United, Patrick Reichelt (kanan) menjaringkan gol kedua ketika menentang PKNP FC di Stadium Hang Jebat. - FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar

KEMENANGAN 2-1 ke atas PKNP di Stadium Hang Jebat semalam amat melegakan jurulatih Zainal Abidin Hassan dalam misi memperbaiki kedudukan di carta liga dengan melonjak ke tangga ketiga.

Mengakui pemain beraksi di luar kemampuan sebenar pada awal permainan selepas ditekan hebat pelawat, anak buahnya kembali memperolehi rentak menyamakan kedudukan dan mencipta jaringan kemenangan.

Zainal berkata, kemasukan Safiq Rahim sebagai pemain gantian diakui memberi impak besar terhadap persembahan keseluruhan selepas terpaksa menurunkan bekas pemain kebangsaan terbabit walaupun masih mengalami kecederaan.

PEMAIN Melaka United, Patrick Reichelt (kanan) melepasi halangan pemain PDRM, Azmizi Azmi. - FOTO Rasul Azli Samad

"Apa yang melegakan Safiq beraksi selesa walaupun dimasukkan pada penghujung babak pertama selepas jaringan penyamaan Melaka.

"Nyata pengalamannya amat penting bagi memperkuat jentera tengah dengan formasi persembahan berjaya diserap dengan baik rakan sepasukan," katanya.

Apapun, dalam lega Zainal sedikit cemas berikutan deretan pemainnya mengalami kecederaan termasuk kapten pasukan Shukor Adan, Luka Milunovic, Saiful Riduan Selamat dan Raimi Md Nor.

Sehubungan itu, dia amat mengharapkan kesemua pemain terbabit akan pulih menjelang aksi berdepan PKNS FC di gelanggang sama Jumaat ini.

Baginya, jadual padat antara punca kecederaan pemain malah selang dua hari skuad Hang Tuah bakal turun bertemu The Red Ants dengan misi meraih mata maksimum.

Menurutnya, dia menunggu laporan pegawai pasukan mengenai tahap kecederaan sebelum meneliti senarai akhir yang bakal beraksi berdepan lawan.

Namun dia nyata positif mereka akan kembali cergas dan pada masa sama sudah merencana pelan terbaik seandainya ada yang tidak dapat diturunkan.

Pertembungan berdepan PKNS adalah aksi terakhir Melaka di laman sendiri manakala perlawanan penutup liga bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur pada 19 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 6:24 PM