POGBA menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Perth, hari ini. - FOTO Agensi
Reuters

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menafikan spekulasi Paul Pogba tidak gembira dan mahu meninggalkan kelab itu sambil mendakwa media mempunyai ‘agenda’ terhadap pemenang Piala Dunia dari Perancis itu.

Ejen Pogba baru-baru ini memberitahu The Times bahawa pemain bermasalah berusia 26 tahun itu berhasrat meninggalkan United dan dia sendiri berkata di Tokyo bulan lalu sudah tiba masanya untuk ‘cabaran baharu di tempat lain.’

Kelab Serie A Juventus dan gergasi La Liga Real Madrid dikaitkan dengan Pogba dan spekulasi itu terus membayangi kunjungan United ke Australia pada jelajah pramusim menjelang aksi menentang kelab Liga-A, Perth Glory Sabtu ini.

Pogba masih mempunyai baki kontrak dua tahun dengan pilihan tambahan tahun ketiga dan Solskjaer mengecam media kerana mensensasikan rundingan perpindahan.

“Ejen bercakap setiap masa. Seperti saya katakan kami tidak menerima bidaan daripada mana-mana kelab,” katanya kepada media di Perth hari ini.

“Itu sahaja yang boleh saya katakan mengenai perkara itu.

“Ada agenda terhadap Paul. Dia pemain hebat dan ternama. Pemain profesional hebat, tidak ada sebarang masalah dan dia mempunyai hati yang mulia.”

Pogba yang berpindah ke Old Trafford dari Juventus dengan rekod ketika itu 89.3 juta pound (RM460.7 juta) pada Ogos 2016, disenaraikan dalam Pasukan Liga Perdana Tahunan PFA dan menjaringkan 31 gol dalam 142 penampilan semua kejohanan.

Namun apa yang mengecewakan peminat adalah aksinya yang tidak konsisten serta beberapa aksi hambar musim lalu dengan kemuncaknya dia bergaduh dengan penyokong yang marah pada hari terakhir EPL di mana kelab itu tewas kepada Cardiff yang tersingkir ke Liga Kejuaraan.

United memulakan kempen baharu musim depan menentang Chelsea di Old Trafford 11 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 8:46 PM