Ketua jurulatih PDRM, E Elavarasan.
Nazri Abu Bakar

PDRM menewaskan Kelantan 3 -1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Turun dengan misi kutipan mata maksimum The Cops ditekan hebat skuad muda pelawat sehingga buntu mencetak jaringan sepanjang 45 minit pertama.

PDRM hanya memperolehi ruang mencipta jaringan pembukaan pada minit ke- 37 menerusi import kelahiran Nigeria, Uche Agba namun sepakannya terkena tiang sebelah kanan gawang pelawat.

Peluang terbaik buat The Red Warriors mencipta jaringan hadir pada minit ke-44 namun rembatan Imran Samso yang hanya berdepan penjaga gol Mohd Shahril Saaril tersasar.

Bagaimanapun, babak kedua menyaksikan kebangkitan berbeza skuad bimbingan jurulatih E Elavarasan yang lebih kerap melakukan percubaan bahaya ke gawang pelawat.

Hasilnya Agba berjaya meledak gol pertama PDRM pada minit ke-51 menewaskan penjaga gol Mohamad Fikri Che Soh.

Selang lima minit selepas itu Fikri tewas lagi selepas pemain gantian Fakrul Aiman Sidid menanduk masuk hantaran Lee Chang Choon untuk gol kedua tuan rumah.

Kelantan merapatkan kedudukan pada minit ke-84 menerusi Danial Haqim yang menanduk masuk hantaran Azwan Aripin namun Agba menambah jaringan ketiga PDRM pada minit ke-90 untuk mengukuhkan kedudukan.

Kemenangan terbabit membolehkan The Cops menghidupkan peluang mara ke Piala Malaysia sementara pelawat terus bergelut mengelak tersingkir daripada bersaing di Liga Perdana 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 11:15 PM