LEANDRO meraikan gol kedua di Stadium Perak. - FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman

THE Bos Gaurus terpaksa berhempas pulas sebelum menjinakkan Selangor 3-2 di Stadium Perak dalam aksi Liga Super sebentar tadi sekali gus melonjakkan tuan rumah ke tangga keenam liga dengan 30 mata. 

Dalam tempoh 15 minit pertama menyaksikan Perak lebih banyak mengasak namun tidak berjaya disudahkan dengan baik.

Bagaimanapun, Selangor terlebih dahulu di hadapan selepas kegagalan pertahanan tuan rumah mengeluarkan bola hasil sepakan sudut yang pantas dimanfaatkan Taylor Grant menerusi rembatan kencang pada minit ke-29.

Tersentak dengan gol itu, skuad kendalian Mehmed Durakovic bangkit memberi tekanan untuk mendapatkan gol penyamaan dan berhasil menerusi percubaan Careca dari jarak dekat pada minit ke-42.

Berselang tiga minit kemudian, Selangor kembali di depan menerusi sepakan leret Endrick Dos Santos untuk kedudukan 2-1.

Sejurus sebelum tamat babak pertama, The Bos Gaurus sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Leandro selepas Norhakim Hassan dijatuhkan dalam kotak penalti. 

Bersambung babak kedua perlawanan, Careca sekali lagi menjadi wira pasukan selepas rembatannya menembusi gawang gol pada minit ke-61 dan kedudukan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 11:46 PM