Aksi Christie Jayaseelan (dua kanan) ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur kelmarin. FOTO Aswadi Alias


FELDA United yang mendapat tonik selepas menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) kelmarin, mahu meneruskan aksi cemerlang itu apabila bertemu PKNP di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Jika menang ke atas kelab dari Perak itu, ia akan membantu The Fighters menduduki tangga ke-10 Liga Super, sekali gus mengelak daripada berada dalam zon penyingkiran.

Pemain tengah, Christie Jayaseelan berkata, skuad itu tidak boleh terlepas mata kerana baki dua lagi perlawanan menyaksikan pertembungan sukar menentang Pahang dan Kedah.

"Sudah pasti kami tiada pilihan lain dan perlu menang ke atas PKNP dan seterusnya bersedia untuk perlawanan bertemu Pahang dan Kedah.

"Saya percaya kemenangan ke atas KL (kelmarin) memberi semangat kepada semua pemain untuk meneruskan rentak kemenangan," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Menurutnya, fokus utama The Fighters ketika berkunjung ke Manjung malam esok adalah mencari gol awal bagi memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah.

FELDA United menduduki tangga ke-11 manakala PKNP pula ke-10 iaitu masing-masing mengutip 15 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 12:46 PM