Jelius dijulang pemainnya selepas menewaskan UiTM di Shah Alam. FOTO NSTP
Ryan Stanley


SKUAD Sabah tetap turun dan berusaha memburu kemenangan melayan kunjungan Kelantan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, esok walaupun sudah bergelar juara Liga Perdana.

Ketua jurulatihnya, Jelius Ating, berkata status juara yang baru dinikmati itu bukanlah bermakna mereka boleh bersikap sambil lewa kerana pasukan itu tetap mahu mengekalkan momentum baik untuk bekalan pada saingan Piala Malaysia akan datang.

Katanya, kemenangan perlawanan itu penting kerana mereka tidak mahu menjulang trofi Liga Perdana dengan wajah ‘masam' jika sebaliknya berlaku.

"Lebih baik kita menang bertemu Kelantan kerana saya difahamkan Ketua Menteri dan TYT (Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah) akan hadir menyaksikan perlawanan serta penyampaian piala pada hari berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Jelius berkata, beliau mengambil kira beberapa perkara dan risiko baki dua perlawanan liga perlu diharungi.

"Sekiranya ada pemain tercedera, kita tidak akan memaksa mereka segera beraksi, begitu juga pemain berisiko untuk digantung perlawanan jika mengutip kad kuning kerana saya difahamkan jika ada penggantungan perlawanan, ia akan dibawa ke saingan Piala Malaysia.

"Seperti kita tahu, saingan Piala Malaysia berbeza dengan saingan liga dan kita perlu menyediakan satu skuad yang baik menghadapinya.

"Baki dua perlawanan itu akan menjadi sebahagian daripada persiapan kita untuk menghadapi Piala Malaysia nanti," katanya.

Tambah beliau, kesebelasan utama Tambadau untuk menghadapi Kelantan hanya akan diputuskan selepas sesi latihan petang ini.

"Hanya pemain yang benar-benar cergas saja akan beraksi dan saya berharap mereka yang diberikan peluang akan bermain bersungguh-sungguh bagi memastikan kita mendapat keputusan baik," katanya.

Walau apapun keputusan malam esok, ia tidak akan mengubah kedudukan Sabah di takhta liga kerana pasukan berkenaan sudah mengumpul 40 mata yang tidak mampu lagi dicabar pasukan lain.

Sebaliknya, skuad The Red Warriors perlu bekerja keras untuk mencatat kemenangan bagi meneruskan peluang mereka kekal dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 3:07 PM