DECHI Marcel bakal diserapkan ke dalam skuad TFC.
Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) akur keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak berganjak dengan keputusan sebelum ini tidak meluluskan permohonan pengambilan pemain import baharu walaupun selepas tiga kali rayuan dibuat.

Berikutan itu skuad Penyu hanya mempunyai satu lagi 'talian hayat' dengan menyenaraikan pemain pasukan 'adik' iaitu Terengganu FC II (TFC II) bagi memperkasakan lagi skuad itu terutama dalam saingan Piala Malaysia yang bakal bermula Ogos ini.

Berkemungkinan besar pemain pertahanan TFC II, Serhii Andrieiev dari Ukraine atau pemain tengah kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel bakal dinaikkan 'pangkat' untuk menyarung jersi TFC.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, PBSNT akan memanfaatkan sistem 'feeder club' bagi menyerap pemain TFC ll yang berpotensi bagi membantu pasukan 'parent club' TFC mengharungi baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia.

"Memandangkan permohonan kami tidak diterima, kita akan gunakan kelebihan 'feeder club' bagi membantu skuad TFC mengharungi saingan itu. Perkara ini saya serahkan kepada pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain untuk uruskan, tapi kita sebenarnya tidak risau kerana pemain TFC ll juga sudah buktikan keupayaan mereka ketika diserap dalam pasukan TFC,” ujar Hishamuddin.

Sebelum ini kelewatan 30 saat mengemukakan dokumen penting kepada FIFA menyebabkan badan induk bola sepak dunia itu menolak permohonan PBSNT untuk mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain import barunya dari Brazil, Luis Gustavo Camilo untuk menggantikan pemain kelahiran Montenegro, Igor Zonjic yang digugurkan kerana prestasi tidak konsisten.

Selepas kegagalan itu, PBSNT membuat permohonan khas dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membolehkan persatuan itu mendaftar pemain import yang sudah ada ITC di Malaysia memandangkan kes itu adalah terpencil disebabkan kelewatan 30 saat. Namun sehingga hari ini PBSNT belum mendapat khabar gembira itu daripada MFL biarpun PBSNT masih mengharapkan diberi kelonggaran untuk mendaftar pemain import barunya bagi mengukuhkan lagi jentera pertahanan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 7:23 PM