SIMONA bergambar bersama trofi Venus Rosewater Dish selepas menewaskan Serena, semalam. - FOTO AFP
AFP

SIMONA Halep percaya Serena Williams kehilangan fakfor membuatkan lawan terjejas mental dan kecut perut yang menjadi salah satu punca kekalahan setiap lawannya.

Simona mudah menewaskan legenda Amerika Syarikat itu 6-2, 6-2 pada aksi final Wimbeldon semalam untuk muncul pemain Romania pertama menjuarai peseorangan wanita di All England Club.

Kekalahan dalam masa 56 minit itu adalah yang paling teruk dialami juara 23 Slam itu dalam final kejohanan utama.

Impiannya menyamai rekod 24 gelaran utama Margaret Court menjelang hari kelahiran ke-38 tidak menjadi kenyataan.

"Saya selalu terganggu dan fokus terjejas setiap kali berdepan Serena,” kata Simona yang berusia 27 tahun itu.

"Dia menjadi inspirasi dan contoh kepada semua orang tetapi hari ini sebelum bertarung saya berkata supaya fokus diri sendiri dan bukan dia.

"Itu sebab saya mampu mempamer aksi sebenar, lebih tenang, positif dan lebih yakin ketika menentang dia.”

Taktik itu ternyata berkesan buat pemain nombor tujuh dunia itu yang tewas sembilan daripada 10 pertembungan dengan Serena dengan kemenangan tunggal diraih pada final WTA Singapura pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 9:20 AM