The Pocketrocketman melonjak dari kedudukan keempat untuk menghuni tangga kedua di belakang pelumba Jepun, Yudai Nitta.
The Pocketrocketman melonjak dari kedudukan keempat untuk menghuni tangga kedua di belakang pelumba Jepun, Yudai Nitta.
Azlan Muhammad Zain


AZIZULHASNI Awang mendapat suntikan semangat menjelang musim kalendar 2020 apabila menduduki tempat kedua acara keirin dunia.

Menerusi ranking terbaru Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), The Pocketrocketman melonjak dari kedudukan keempat untuk menghuni tangga kedua di belakang pelumba Jepun, Yudai Nitta.

Pencapaian jaguh negara berusia 31 tahun itu meraih tempat kelapan di Kejohanan Antarabangsa Dublin membolehkan dia mengumpul 110 mata selain 40 mata di Grand Prix von Deutschland, Jerman.

Secara keseluruhan pelumba berkenaan mengumpul 2465 mata, dipisahkan 245 mata dengan pelumba Jepun berusia 33 tahun berkenaan manakala Yuta Wakimoto di kedudukan ketiga.

Bagi acara pecut individu, Azizulhasni melonjak satu kedudukan untuk berada di tempat ke-21 dunia dengan mengumpul 1536 mata selepas meraih tempat kedua di Ireland.

"Nampaknya apa yang dirancang berjalan lancar. Selepas ini saya akan menyertai beberapa lagi perlumbaan Grand Prix (GP) untuk mengekalkan mata selain sebagai pertandingan latihan.

"Kami masih kekal dengan perancangan untuk membentuk prestasi bagi mencapai kemuncak di Olimpik Tokyo nanti," jelas pemenang gangsa Olimpik Rio 2016 itu.

Dia dijadual menyertai beberapa kejohanan yang lain seperti GP Asia Tenggara di Nilai penghujung bulan depan disusuli Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan pada Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 7:24 PM