SYAHIR (kiri) dan Zulkifli digugurkan dalam skuad takraw negara. FOTO/NSTP
Azlan Muhammad Zain


BAKI enam tekong dalam skuad negara menjadi sandaran ketua jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad bagi merealisasikan sasaran mempertahankan emas Sukan SEA 2019 selain Sukan Asia 2022.

Tanpa kelibat dua tekong utama, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak yang digugurkan, Abdul Talib tidak mempunyai pilihan selain melahirkan jaguh baru untuk diketengahkan.

"Saya percaya enam tekong ini mampu menggalas tugas di Sukan SEA. Kita ada menghantar mereka menyertai Kejohanan Asia di China tempoh hari selain persahabatan di Yala, Thailand.

"Ada tiga tekong yang menonjol namun tiga lagi "mengejar". Saya sudah berbincang dengan jurulatih yang lain, sasaran tetap sama iaitu cuba mempertahankan emas dalam regu serta perak dalam acara berpasukan," jelasnya.

Enam tekong yang berada dalam skuad negara adalah Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, Said Ezwan Said De, Muhammad Syahmi Husin, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi dan Muhammad Adam Aiman Zainol.

Jelas Abdul Talib, skuad negara akan dikecilkan kepada dari 22 kepada 15 pemain dalam masa terdekat untuk membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada mereka.

Dua tekong emas, Syahir dan Zulkifli digugurkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia pada 26 Jun lalu dengan alasan disiplin namun disangkal kedua-duanya yang kemudiannya mempertikaikan skim elaun yang tidak tidak telus serta adil.

Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun emas Sukan SEA menerusi ketajaman servis Syahir untuk memenangi acara regu di Singapura pada 2015 disusuli Kuala Lumpur 2017.

Seterusnya Zulkifli mempamerkan kejaguhannya apabila bergandingan bersama Syahir menamatkan kemarau 24 emas di Sukan Asia dengan menjuarai acara regu di Palembang tahun lalu.

"Kita perlu ingat...peraturan tetap perlu dipatuhi. Prinsip seorang jurulatih, kita akan cuba buat yang terbaik di Sukan SEA 2019 nanti," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 7:29 PM