HAIRUL Hazizi (kanan) antara enam tekong galas cabaran negara di Sukan SEA Filipina nanti.
Azlan Muhammad Zain


Tiada rotan... akar pun berguna. Mungkin itu pegangan ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad yang kini bergantung harap sepenuhnya kepada baki enam tekong yang masih kekal bersama skuad elit negara.

Abdul Talib yakin, semua enam tekong terbabit mampu mempamer aksi sehebat dua tekong ‘emas’ yang digugurkan, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, baru-baru ini.

Misi emas di Sukan SEA Filipina tetap menjadi keutamaan Abdul Talib walaupun ketiadaan Syahir serta Zulkifli dan beliau sedar masa untuk melahirkan tekong baharu, sudah tidak ada sebaliknya perlu menggunakan sepenuhnya ‘aset’ yang dimiliki ketika ini.

“Saya percaya enam tekong ini mampu menggalas tugas di Sukan SEA. Kita juga pernah menghantar mereka menyertai Kejohanan Asia di China tempoh hari selain persahabatan di Yala, Thailand.

“Ada tiga tekong yang menonjol, namun tiga lagi sedang ‘mengejar’. Saya sudah berbincang dengan jurulatih lain, sasaran tetap sama iaitu cuba mempertahankan emas dalam acara regu serta perak dalam acara berpasukan,” jelasnya.

Enam tekong yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tugasan besar berkenaan adalah Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, Said Ezwan Said De, Muhammad Syahmi Husin, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi dan Muhammad Adam Aiman Zainol.

Jelas Abdul Talib, skuad negara akan dikecilkan daripada 22 kepada 15 pemain dalam masa terdekat untuk membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada mereka.

Syahir dan Zulkifli digugurkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada 26 Jun lalu dengan alasan disiplin namun disangkal kedua-duanya yang kemudiannya mempertikaikan skim elaun yang tidak tidak telus serta adil.

Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun emas Sukan SEA menerusi ketajaman servis Syahir untuk memenangi acara regu di Singapura pada 2015 disusuli Kuala Lumpur 2017.

Zulkifli pula mempamer kejaguhannya apabila bergandingan bersama Syahir menamatkan kemarau 24 tahun emas di Sukan Asia dengan menjuarai acara regu di Palembang tahun lalu.

“Kita perlu ingat... peraturan tetap perlu dipatuhi. Prinsip seorang jurulatih, kita akan cuba buat yang terbaik di Sukan SEA 2019 nanti,” kata Abdul Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:10 AM