AKSI Mahrez (dua dari kiri) meraikan jaringan menewaskan Nigeria di Kaherah. - FOTO Agensi
AFP

JARINGAN menarik Riyad Mahrez menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan membolehkan Algeria menewaskan juara tiga kali Nigeria 2-1 dalam aksi separuh akhir di Stadium Antarabangsa Kaherah awal pagi tadi dan akan menentang Senegal pada aksi final Piala Negara Afrika.

Algeria mendahului pada babak pertama menerusi jaringan sendiri William Troost-Ekong pada minit ke-40 sebelum Nigeria menyamakan kedudukan selepas Odion Ighalo menjaringkan penalti pada minit ke-72.

Bagaimanapun, ketika perlawanan hampir menuju ke masa tambahan, Mahrez muncul wira Desert Foxes apabila sepakan percumanya dari jarak 18 meter menembusi gawang Nigeria sekali gus mara ke final kali pertama sejak 1990 yang dimenangi mereka.


PENYOKONG Algeria berpesta meraikan kemenangan pasukan mereka di Grande Poste, Algiers. - AFP

Algeria akan menentang Senegal pada 19 Julai, pertembungan ulangan aksi kumpulan yang dimenangi Algeria 1-0.

"Kami sangat gembira mara ke final kerana ia sesuatu yang sangat istimewa,” kata Mahrez.

"Memang sasaran kami melakukannya demi rakyat dan keluarga kami. Kami tahu mereka sentiasa di belakang kami sepanjang masa dan ini jaringan saya yang paling penting buat skuad Algeria. Ya, menjadi impian saya untuk menjuarainya dan berharap kami dapat melakukannya."

Jurulatih Nigeria, Gernot Rohr pula mengakui Algeria lebih berhak memenangi perlawanan itu selepas menghampakan peluang Super Eagles beraksi di final buat kali kelapan.

"Saya perlu mengucapkan tahniah kepada pemain yang memberi tentangan hebat kepada pasukan hebat ini. Mereka memenanginya pada saat akhir dan Algeria memang berhak ke final. Sepakan percuma yang hebat membezakan keputusan perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:59 AM