BOLA terkena kepala Bronn sebelum masuk ke gawang sendiri. - FOTO AFP
AFP

SENEGAL mara ke final Piala Negara Afrika buat kali kedua selepas jaringan sendiri Dylan Bronn membolehkan mereka menewaskan Tunisia 1-0 dalam aksi separuh akhir yang sengit di Kaherah, awal pagi tadi.

Ketika masa tambahan masuk minit ke-11, penjaga gol Mouez Hassen gagal menampan kemas sepakan percuma dan bola terkena kepala Bronn dan masuk ke gawang sendiri.

Tunisia berpeluang menyamakan kedudukan apabila bola terkena tangan Idrissa Gueye tetapi pengadil menarik balik keputusan memberikan penalti selepas reviu VAR.

Kedua-dua pasukan terlepas menjaringkan penalti dalam aksi sebenar menerusi pemain Tunisia, Ferjani Sassi sebelum pemain Senegal, Henri Saivet turut gagal menyempurnakannya.

Bintang Liverpool, Sadio Mane menjadi pilihan utama mengambil sepakan penalti tetapi selepas dua kali gagal di peringkat kumpulan dia diketepikan sebelum aksi suku akhir.

Senegal bakal kehilangan bintang pertahanan, Kalidou Koulibaly pada aksi final menentang Algeria pada Ahad ini selepas mendapat kad kuning kedua dan digantung satu perlawanan.

Kali terakhir Senegal mara ke final 17 tahun lalu yang ketika itu diketuai jurulatih sekarang, Aliou Cisse tetapi tewas menerusi penentuan penalti kepada Cameroon di Mali.

"Tahniah kepada Alain Giresse (bekas jurulatih Tunisia dan Senegal) kerana dia meninggalkan kepada saya sekumpulan pemain yang bagus. Dia menjalankan tugas dengan cemerlang di Senegal,” kata Cisse.

"Perlawanan ini sangat mendebarkan kerana keputusan yang tidak pasti dan akan kekal dalam sejarah bola sepak Afrika.”

Kedua-dua pasukan bertembung buat kali keenam dalam Piala Negara Afrika dan masing-masing menang sekali dan seri tiga kali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 7:32 AM